SELAIN rabun dekat dan jauh, rabun silau turut menjadi masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan individu di seluruh dunia.
Bukan saja menyukarkan pengliharan secara normal, rabun silau acapkali mengganggu pemanduan seseorang terutama di waktu malam.
Menurut Pakar Mata Hospital Ampang Puteri, Dr. Rozita Ahmad, tidak ramai yang mengetahui bahawa silau yang dihadapi berpunca daripada dua faktor.
“Kebanyakan silau berpunca daripada astigmatism manakala yang lain berpunca daripada keradangan atau jangkitan pada mata,” jelasnya.
Astigmatism berkait rapat dengan penglihatan menjadi kabur pada semua jarak yang disebabkan oleh permukaan kornea atau kanta tidak sekata.
Apabila keadaan ini berlaku, ia akan menyebabkan pesakit melihat imej yang tidak jelas dan pecah-pecah terutama cahaya pada waktu malam.
Tambah Rozita, astigmatism yang sedikit atau kurang daripada 0.50D biasanya tidak mengganggu penglihatan.
“Namun, sekiranya ia lebih, ia boleh menyebabkan sakit kepala, mata letih dan silau yang kronik. Apabila ini terjadi, pembetulan kornea atau kanta harus dilakukan seperti pemakaian cermin mata atau kanta sentuh khas,” ujarnya.